October 30, 2018 Kenyataan Media 0 comment

[Kenyataan Media] Majlis Pelancaran Hab Pemberdayaan Wanita Zuraida Kamaruddin

Penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor direalisasikan pada Oktober 2017 lalu sebagai sebuah badan pemikir dan pembuat dasar yang menyokong agenda dan matlamat yang diperjuangkan Kerajaan Negeri. Dasar Wanita Selangor yang holistik, progresif dan inklusif juga dilancarkan demi menjamin kesejahteraan wanita keseluruhannya yang menjunjung prinsip hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, selain memastikan keseimbangan dan kecemerlangan berterusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Hari ini, IWB Selangor melangkah setapak lagi ke hadapan dengan memperkenalkan Hub Pemberdayaan Wanita Zuraida Kamaruddin. Ia berkonsepkan sebuah hub kompak yang memberi ruang kondusif bagi pelaksanaan segala aktiviti tertumpu khas yang membangkitkan kapasiti dan daya saing juga martabat wanita di negeri ini.

Dengan ruang yang boleh memuatkan sehingga 40 ke 50 orang ini, pelbagai aktiviti boleh dijalankan seperti sesi pembentangan, taklimat dan ceramah; latihan dan bengkel; forum dan seminar; mesyuarat strategik; sidang media; persembahan teater, muzik dan banyak lagi selawas dengan matlamat IWB Selangor iaitu:

a) Menggalakkan pembangunan yang peka gender;
b) Meningkatkan status wanita terpinggir;
c) Merapatkan jurang gender dalam pasaran buruh;
d) Meningkatkan kepimpinan wanita politik dan pembuatan keputusan;
e) Meningkatkan kesihatan, kesejahteraan dan mobiliti wanita;
f) Membebaskan wanita daripada keganasan dan ketakutan; dan
g) Menzahirkan bakat kreatif wanita.

Dalam persekitaran strategik bandar yang menjadi tumpuan awam, harga yang ditawarkan adalah sangat berpatutan. Bagi 4 jam pertama (separuh hari), sewa yang dikenakan hanya RM150 manakala RM300 dikenakan bagi penggunaan 4 hingga 8 jam (sehari) merangkumi penggunaan ruang seminar berhawa dingin, projector, PA sistem, perabot dan bekalan elektrik juga air dengan mengenakan deposit hanya 50 peratus daripada total sewaan keseluruhan.

Disebalik kejayaan pelancaran hub ini, ia juga merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan kepada seorang tokoh wanita yang telah banyak berjasa kepada pembangunan wanita di negara kita Malaysia, khususnya di Negeri Selangor Darul Ehsan dengan mengangkat nama “Zuraida Kamaruddin” sebagai nama kepada hub pemberdayaan wanita ini.

Mengambil semangat kemerdekaan yang akan diraikan seluruh rakyat Malaysia esok (31 Ogos 2018), besar harapan kami semoga kewujudan Hub Pemberdayaan Wanita Zuraida Kamaruddin ini menjadi pengukuh kepada Selangor sebagai sebuah negeri titik tumpuan pemberdayaan wanita setempat, nasional dan global melalui Dasar Wanita Selangor dengan memaksimakan potensi dan kapasiti wanita, menaiktaraf kehidupan sosio-ekonomi, kesihatan dan keselamatan wanita serta meningkatkan keupayaan kepimpinan dan pembuat keputusan wanita.

Komunikasi Korporat, Media & Perhubungan Awam
Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor