October 30, 2018 Kenyataan Media 0 comment

[Kenyataan Media] Pentingnya Minimum 30% Wanita Dalam PBT

Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor menyambut baik cadangan semakan semula peruntukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal memenuhi syarat 30% perwakilan ahli majlis, seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YBM Hajah Zuraida Kamaruddin baru-baru ini.

Sungguhpun keberkesanannya masih perlu dikaji, namun prinsipnya, langkah penguatkuasaan yang tegas itu mencerminkan tahap komitmen kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tadbir urus PBT.

Selaras dengan komitmen ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyokong cadangan tersebut.
Wajarlah begitu, seperti yang termaktub dalam Iltizam Wanita Pakatan Harapan, di bawah Topik 1 (Pendemokrasi Politik & Kepimpinan), Item 2 yang berbunyi :
“Menguatkuasakan tindakan afirmatif bagi memastikan sekurang-kurangnya 30% penglibatan dan penyertaan wanita dalam setiap peringkat pembuatan keputusan, jawatan, dan lantikan dalam struktur politik dan kerajaan.”

Oleh itu, kenyataan tambahan Menteri Wanita, iaitu PBT harus mendahulukan keperluan penduduk berbanding peruntukan untuk melantik 30% ahli majlis wanita, perlu dikupas agar tidak disalah faham oleh masyarakat umum.

Keperluan penduduk dan peningkatan perwakilan wanita bukanlah sebuah “zero-sum game” di mana kita terpaksa memilih hanya salah satu “option”.

Wanita merupakan 50% daripada penduduk. Bercakap tentang keperluan 50% daripada penduduk ini, wanita berhak diwakili dengan adil dan seimbang dalam PBT, namun hakikatnya perwakilan wanita hanya berlegar di sekitar kadar purata 14% di peringkat nasional.

Kelayakan wanita dalam memegang jawatan kepimpinan juga sering dipersoalkan, seakan-akan terdapat tanggapan tersembunyi bahawa wanita kurang berkemampuan berbanding lelaki. Nampaknya, itulah antara kerisauan utama di sebalik kuota gender.

Pemikiran begini harus dihentikan, apatah lagi daripada tampuk kepimpinan wanita kita dan terutamanya selepas Dato’ Seri Wan Azizah sendiri mencipta sejarah apabila beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama di Malaysia.

Seperti dilihat melalui pencapaian wanita semasa dan peratusan graduan universiti wanita yang lebih tinggi daripada lelaki, isunya bukanlah ketandusan wanita yang berkaliber, tetapi diskriminasi yang mendalam dari segi peluang, akses, kekangan struktur formal serta corak sosio-budaya yang menghasilkan ketidakseimbangan dalam perwakilan.

Kami bukannya menuntut agar wanita yang kurang berkemampuan diberikan keutamaan berbanding lelaki. Sebaliknya, prestasi kerja semua ahli majlis PBT harus dinilai dengan rapi, tidak kira sama ada wanita atau lelaki.

Kami hanya menuntut agar wanita yang tidak kurang kemampuan diberikan peluang yang adil dan saksama untuk memenuhi potensi mereka untuk menyumbang kepada masyarakat.

Sasaran perwakilan 30% wanita (yang jauh lebih rendah daripada nisbah populasi sebenar 50:50) hanyalah “minimum critical mass” iaitu peratusan minimum yang dijangka mampu memangkinkan keseimbangan perwakilan gender yang lebih adil.

Tiga tahun lepas, Phumzile Mlambo-Ngcuka, Pengarah Eksekutif UN Women telah menyatakan bahawa sekiranya kita tidak mengusahakan perubahan, pencapaian kesaksamaan gender dalam arena politik akan mengambil masa 50 tahun lagi.

Menjelang ulangtahun Kemerdekaan kita yang ke-61, kami kira, tuntutan 30% perwakilan wanita ini bukan sahaja sangat munasabah malah sudah jauh tertunggak.

Komunikasi Korporat, Media & Perhubungan Awam
Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor