December 12, 2018 Kenyataan Media 0 comment

[Teks Ucapan] Majlis Pelancaran Kempen #DengarSuaraKami

Assalamualaikum w.b.t

Saya ingin memulakan ucapan saya pada pagi ini dengan sepotong ayat dari Kitab suci AL-Quran yang bermaksud:

“Dan tatkala dia sampai di sumber air negeri Madyan, dia mendapati di sana sekumpulan orang yang sedang memberi minum [haiwan ternakan mereka], dan ia mendapati di belakang orang ramai itu terdapat dua orang wanita yang sedang terpisah daripada kumpulan orang ramai itu. Musa
berkata: “Apakah tujuan kamu berdua [dengan berbuat begitu]?” Kedua wanita itu menjawab: “Kami tidak dapat memberi minum [kepada ternakan kami], sebelum pengembala-pengembala itu bersurai sedangkan bapa kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya” ( Al – Qasas: Ayat 23)

1. Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran dan segala puji bagi Allah S.W.T, kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya maka dapat kita bersama-sama pada hari ini bagi menjayakan Majlis
Pelancaran Kempen #DengarSuaraKami (#HearMeToo).

PENDAHULUAN
2. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor di atas penganjuran Majlis ini sebagai manifestasi kepada usaha-usaha
pemberdayaan wanita secara berterusan yang telah dilakukan. Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua tetamu yang hadir, yang turut sama
menyatakan komitmen dalam usaha untuk membela hak kaum wanita dan mengupaya golongan hawa di Negara ini khususnya di Negeri Selangor Darul Ehsan.

3. Di kesempatan ini, suka untuk saya berkongsi pengajaran dari ayat yang dibacakan sebentar tadi, di mana tanggungjawab untuk membela dan mengupaya wanita ini telah dirakamkan dalam Kitab suci Al-Quran sejak 1400 tahun yang lalu. Kisah yang dicatatkan ini berkenaan dua orang wanita dari kaum Madyan yang telah dinafikan hak mereka untuk memberi minum kepada binatang ternakan mereka oleh sekumpulan lelaki. Maka, datang Nabi Musa membantu mereka keluar dari kumpulan lelaki itu dan seterusnya membantu mereka memberi minum kepada binatang ternakannya. Inilah tangggungjawab sebenar yang perlu dilaksanakan oleh kaum lelaki kerana hakikatnya lelaki adalah pelindung
dan pembela wanita dan bukannya sebagai pendera yang menyeksa wanita.

Hadirin yang dimuliakan,

4. Kempen #DengarSuaraKami yang telah diperkenalkan sejak tahun 1991 oleh Women Global Leadership Institute adalah kempen menghapuskan keganasan terhadap wanita yang dikenali sebagai
Sambutan 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender yang berlansung dari 25 November sehingga 10 Disember dengan tema global #HearMeToo. Di peringkat Kerajaan Negeri, kami
menyambut baik program-program seumpama ini bagi memberi kesedaran kepada wanita untuk mereka bangkit dari penindasan dan mempertahankan hak asasi seoramng manusia.

5. Keganasan terhadap wanita adalah perbuatan penganiayaan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan dalam pelbagai cara. Ianya meliputi semua bangsa, agama, pendapatan, kelas dan budaya.
Ianya juga merupakan suatu bentuk penyalahgunaan kuasa yang sering berlaku apabila seorang pasangan cuba untuk mengawal atau mendominasi pasangannya. Di Malaysia, sebanyak 57,519 kes
keganasan terhadap wanita dilaporkan sejak 2010 hingga Mac 2017 berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM). Perangkaan juga menunjukkan bahawa kes-kes keganasan terhadap wanita seperti rogol, gangguan seksual, keganasan rumah tangga, ragut dan lain-lain semakin membimbangkan pada masa ini kerana ianya bukan hanya mengakibatkan kecederaan fizikal dan mental kepada mangsa tetapi
juga boleh mengakibatkan kematian.

6. Keganasan terhadap wanita boleh diertikan sebagai apa-apa tindakan keganasan yang berdasarkan gender yang mengakibatkan atau kelihatan boleh mengakibatkan kecedaraan fizikal, seks atau psikologi
atau mengakibatkan penderitaan kepada wanita. Tindakan-tindakan keganasan yang lain terhadap wanita juga termasuk pelanggaran hak- hak kemanusiaan wanita terutamanya pembunuhan, perogolan
terancang, perhambaan seks dan penghamilan tanpa kerelaan.

Hadirin yang dikasihi,

7. Kaum wanita lebih terdedah kepada keganasan berbanding lelaki walaupun mereka juga ada menjadi mangsa kepada keganasan wanita tetapi nisbahnya terlalu kecil dan kesan tindakan tersebut terhadap
mereka adalah sedikit. Faktor gender memainkan peranan di mana lelaki disifatkan sebagai seorang yang gagah, tidak mudah terpengaruh dengan emosi, pantang dicabar, suka sesuatu yang ganas dan
berkeinginan untuk selalu berada di tahap yang tinggi. Manakala wanita disifatkan subordinasi kepada lelaki, tidak suka kepada keganasan, lebih beremosi dan lebih mudah mengalah. Gambaran-gambaran ini sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan keganasan oleh lelaki terhadap wanita.

8. Hak-hak wanita yang termaktub dalam undang-undang sivil dan syariah yang ada di negara kita pada hari ini adalah cukup luas dan menyeluruh untuk membela dan menjamin hak-hak wanita. Namun,
golongan wanita masih kurang terdedah untuk mendapatkan maklumat tersebut. Disebabkan kurangnya pengetahuan ini maka kaum wanita seringkali keliru dan buntu apabila berhadapan dengan masalah dan menyalahkan undang-undang yang tidak dapat membela nasib mereka.

9. Salah satu cara mengatasi masalah tersebut adalah dengan mengadakan kempen seumpama ini agar dapat mencelikkan kaum wanita khususnya dan masyarakat amnya berhubung dengan hak-hak
wanita. Seperkara yang menjadi masalah dan merugikan kaum wanita adalah kurangnya pengetahuan berhubung dengan prosedur dan cara-cara untuk memperolehi hak tersebut. Adalah tidak memadai dan
menjadi satu perkara yang sia-sia jika kita mengetahui akan hak kita tetapi tidak tahu bagaimanakah caranya dan kepada siapakah kita perlu merujuk untuk mendapatkan hak tersebut.

10. Saya juga percaya ada dikalangan kita yang tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkan peguam samada melalui firma-firma persendirian ataupun biro bantuan guaman. Jika ke
mahkamah pula berbagai-bagai rintangan, kesusahan dan karenah yang dihadapi. Kita seringkali menghadapi kekeliruan dengan prosedur mahkamah, masalah kelambatan dan penangguhan perbicaraan selain daripada masalah dalaman institusi kehakiman itu sendiri yakni
berlakunya masalah dalam penguatkuasaan perintah dan sebagainya. Pendek kata-kata masalah-masalah sebegini yang akan membataskan sekaligus mematikan hasrat kita untuk berjuang dalam memperolehi hak yang sepatutnya menjadi milik kita.

PENUTUP

11. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat menjayakan kempen ini. Kerajaan Negeri ingin
menyeru agar seluruh rakyat Selangor tanpa mengira jantina bersatu hati dalam membela nasib wanita yang terkesan dengan segala bentuk keganasan yang masih berlaku sehingga kini. Sesungguhnya, kejayaan kempen ini adalah paduan dan tanggungjawab bersama semua pihak. Dengan pelancaran sticker yang akan disebarluaskan ke seluruh premis-premis sekitar, segala maklumat penting yang diperlukan oleh mangsa terpapar dan akan mendorong kepada mereka juga kenalan dan jiran tetangga yang mengetahuinya untuk bertindak melaporkan dan mendapatkan bantuan.

12- Akhir sekali, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang hadir pada program pada hari ini. Saya amat menghargai komitmen yang tuan-tuan dan puan-puan semua berikan dari aspek masa dan tenaga, semata-mata untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat dan Negara. Semoga semua usaha kita diberkati dan memberi manfaat kepada semua.

Oleh itu, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Pelancaran Kempen #DengarSuaraKami peringkat Negeri Selangor 2018.

Sekian, terima kasih.

 

YB DR SITI MARIAH MAHMUD
PENGERUSI JAWATANKUASA TETAP KESIHATAN, KEBAJIKAN, PEMBERDAYAAN WANITA & KELUARGA