Buku ‘Ceritalah Wanita’ Inspirasi Anak Muda

Makalah ‘Ceritalah Wanita’ lahir atas rasa kebertanggungjawaban Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor dalam usaha menginspirasikan terutamanya golongan anak muda yang dahagakan ikon pejuang negara untuk mengangkat isu-isu wanita ke peringkat lebih tinggi.

Walau datang dari latar masa, peribadi dan bidang rencam, cerita benar dari 11 tokoh wanita berdaya yang berperanan signifikan dalam usaha membangunkan ketamadunan negara disatukan dalam satu platform.

Tokoh-tokoh ini merupakan suara dan bukti bahawa wanita juga mampu sekaligus memecah batasan dan stereotaip yang wujud.

Antara tokoh yang diketengahkan adalah pejuang kemerdekaan dan Senator Wanita Pertama Negara, Tan sri Datin Paduka Dr. Aishah Ghani; Sasterawan Negara Ke-13 (wanita pertama), Dato’ Dr Zurinah Hassan; Pakar Astrofizik Pertama Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman; Juruterbang Pesawat Pejuang Wanita Pertama, Leftenan Kolonel (B) Emilia Kamarudin dan ramai lagi.

Kejayaan mereka tidak datang bergolek, besar pengorbanan yang perlu dibayar untuk menjadi diri mereka hari ini, terutamanya yang berkecimpung dalam bidang yang secara tradisinya dimonopoli oleh golongan lelaki.

Mereka harus berusaha dua kali ganda lebih keras untuk mendapat pengiktirafan dan kepercayaan yang sama dengan golongan lelaki. Namun suara, idea, pemikiran dan semangat mereka berjaya memberi kesedaran dan seterusnya memacu pemerkasaan wanita secara holistik.

Maka cerita-cerita menarik ini dikompilasikan dalam sebuah naskah kompak 59 muka surat demi menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan wanita mengenali potensi diri demi memaksimumkan kualiti kehidupan selaras Dasar Wanita Selangor yang diperkenalkan.

Nukilan yang dirasmikan YABhg Puan Masdiana Mohamad, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) ini juga menjadi bukti rakaman sejarah tentang keupayaan dan kepentingan penglibatan golongan wanita dalam negara.

Majlis Penganugerahan Tokoh & Pelancaran Buku Ceritalah Wanita yand diadakan di Hotel Grand BlueWave Shah Alam turut dihadiri Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin dan Exco Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor, YB Dr Siti Mariah Mahmud selain persembahan istimewa deklamasi sajak oleh Sasterawan Negara, Dato’ Dr Zurinah Hassan.

Buku Ceritalah Wanita ini akan diedarkan secara percuma. Kepada yang berminat untuk memilikinya boleh menghubungi IWB Selangor di talian 03-78596824 juga general.iwb@gmail.com .

#ceritalahwanita #inspirasianakmuda #iwbselangor #balanceforbetter