March 21, 2018 Petikan 0 comment

100 peserta hadiri Bengkel Keselamatan Kanak-kanak Selangor

21 Mac 2018 – Seramai 100 peserta menghadiri Bengkel Keselamatan Kanak-kanak Selangor anjuran Institut Wanita Berdaya (IWB) yang berlangsung selama tiga hari, sejak Isnin lalu.

Pengerusi IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, bengkel itu penting dilaksanakan kerana ia memberi kesedaran kepada kanak-kanak, dari peringkat awal.

“Adalah penting untuk setiap kanak-kanak, ibu bapa dan masyarakat peka terhadap sebarang isu dihadapi kanak-kanak di Malaysia, pada masa kini.

“Selangor adalah negeri paling ke hadapan yang sedar kepentingan memberikan pendedahan kepada kanak-kanak berkenaan keselamatan diri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas merasmikan Hari Penutup Bengkel Keselamatan Diri Kanak-kanak Selangor, di Villa Piscine Priveé , Kenny Hills, Bukit Tungku, di sini, hari ini.

Zuraida berkata, inisiatif dilaksanakan oIWB dalam menjalankan pelbagai program kesedaran, bukan hanya kepada ibu bapa tetapi juga kanak-kanak.

“Terdapat tiga program utama yang dilaksanakan IWB iaitu Seminar Perlindungan Kanak-Kanak, Bengkel Keselamatan Diri Kanak-Kanak dan Bengkel Kesedaran Atasi Penderaan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

“IWB turut mengadakan kerjasama strategik dengan badan bukan kerajaan seperti PS The Children, Monster Among Us & RAGE yang menjalankan pelbagai program berkenaan keselamatan kanak-kanak.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, IWB akan sentiasa melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di Selangor.

Sementara itu, Pegawai Polisi IWB, Farah Afzan Faridi berkata, bengkel berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Program bersiri ini adalah inisiatif IWB Selangor dalam usaha memberi kesedaran kepada kanak-kanak berkenaan risiko dan bahaya yang sering dihadapi mereka di dunia sebenar.

“Bengkel ini memberi penekanan terhadap interaksi kanak-kanak dengan dunia luar, kami mendidik mereka supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada apabila berinteraksi dengan orang tidak dikenali,” katanya.