October 22, 2018 Petikan 0 comment

Penting 30 peratus wanita dalam PBT

Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor menyambut baik cadangan semakan semula peruntukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang gagal memenuhi syarat 30 peratus perwakilan Ahli Majlis.

Ketua Pegawai Operasinya, Karen Lai Yu Lee berkata, biarpun keberkesanannya masih perlu dikaji, namun prinsip dan langkah penguatkuasaan yang tegas itu mencerminkan tahap komitmen kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tadbir urus PBT.

“Selaras dengan komitmen ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyokong cadangan tersebut.

“Oleh itu, kenyataan tambahan Menteri Wanita, iaitu PBT harus mendahulukan keperluan penduduk berbanding peruntukan untuk melantik 30 peratus ahli majlis wanita, perlu dikupas agar tidak disalah faham oleh masyarakat umum,” katanya dalam kenyataan.

Yu Lee berkata, wanita berhak mewakili dalam mana-mana PBT berdasarkan jumlah penduduk yang terdiri daripada 50 peratus wanita.

Katanya, keperluan penduduk dan peningkatan perwakilan wanita bukanlah sebuah ‘zero-sum game’ di mana kita terpaksa memilih hanya salah satu ‘option’.

“Namun, hakikatnya perwakilan wanita hanya berlegar di sekitar kadar purata 14 peratus di peringkat nasional.

“Kelayakan wanita dalam memegang jawatan kepimpinan juga sering dipersoalkan, seakan-akan terdapat tanggapan tersembunyi bahawa wanita kurang berkemampuan berbanding lelaki,” katanya.

Beliau berkata, prestasi kerja semua Ahli Majlis PBT juga perlu dinilai dengan telus sama ada lelaki mahupun wanita.

“Seperti dilihat melalui pencapaian wanita semasa dan peratusan graduan universiti wanita yang lebih tinggi daripada lelaki, isunya bukanlah ketandusan wanita yang berkaliber, tetapi diskriminasi yang mendalam dari segi peluang, akses, kekangan struktur formal serta corak sosio-budaya yang menghasilkan ketidakseimbangan dalam perwakilan.

“Pemikiran begini harus dihentikan, apatah lagi daripada tampuk kepimpinan wanita kita dan terutamanya selepas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencipta sejarah apabila beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama di Malaysia.

“Sasaran perwakilan 30 peratus wanita (yang jauh lebih rendah daripada nisbah populasi sebenar 50:50) hanyalah ‘minimum critical mass’ iaitu peratusan minimum yang dijangka mampu memangkinkan keseimbangan perwakilan gender lebih adil,” katanya.

Sumber: Selangorkini