Syahidatul kongsi teknik penghasilan cerpen pada siri 2 Bengkel Penulisan Kesedaran Gender

Puan Syahidatul berkongsi dengan peserta proses dan teknik menghasilkan cerpen. Beliau menghuraikan dengan teliti proses tersebut dan menyentuh para penulis wanita yang berbakat besar seperti Siti Jasmina Ibrahim, Ratna Laila Shahidin dan Ruhaini Mat Darin.

Beliau juga menceritakan tentang para ratu wanita dalam Kerajaan Alam Melayu yang jarang didengar dan kewibawaan mereka memerintah kerajaan masing-masing. Pengalaman para ratu yang gagah ini mengayakan pengetahuan dan menginspirasi para peserta bengkel.Beliau juga mengambil kesempatan ini untuk memetik sajak Pesanan Puteri Gunung Ledang karya SN Zurinah Hassan.

Puan Syahidatul juga merujuk Prof Farish Noor yang menceritakan tentang sifat peribadi orang Melayu yang dilambangkan sebagai sang kancil. Sang kancil bersifat bijak dan tidak konfrontatif, tetapi cenderung menyelesaikan masalah dengan cara berhikmah.

Puan Syahidatul berkali-kali menekankan konsep ‘showing not telling’ dan memahalkan dialog sebagai konsep penting bagi menghasilkan karya berkualiti.Konsep ini banyak dipancarkan oleh karya Faisal Tehrani dan Orhan Pamuk (sekadar beberapa contoh).

Nasihat Puan Syahidatul, cari ‘forte’ masing-masing dan dalami kekuatan diri. Beliau juga berpesan agar peserta untuk tidak merasa rendah diri, tulis saja dan jangan takut dengan dikotomi ‘indie-mainstream’. Ilmu bantu juga penting untuk melengkapkan karya peserta.

Peserta berpeluang membentang idea masing-masing dan diberi tunjuk ajar oleh Puan Syahidatul sendiri.