Raihani pula kongsi ilmu penulisan kreatif pada siri 2 Bengkel Penulisan Kesedaran Gender

Puan Raihani membuka sesi dengan memberi pencerahan tentang pelbagai genre puisi tradisional yang luas, iaitu dari pantun sehinggalah mantera. Peserta kemudiannya didedahkan dengan puisi moden iaitu sajak dan sajak-sajak eksperimental.

Ujar Puan Raihani, medium dan platform karya zaman kini sudah terbuka dan penulis baru mempunyai banyak peluang untuk mengetengahkan karya. Penulis perlu mengenalpasti platform dan memahami kehendak dan kecenderungan setiap media yang menyiarkan karya kreatif.

Puan Raihani juga menerangkan tentang bentuk puisi dan dan peserta dibawa mengenal puisi-puisi tulisan penulis mapan, antaranya puisi dari SN Zurinah Hassan iaitu SN tunggal wanita di Malaysia. Puan Raihani juga memetik penyair wanita yang hebat-hebat di persada tanah air iaitu Siti Zainon Ismail, Siti Zaleha Hashim,dan novelis terkenal Khadijah Hashim. Puan Raihani juga menunjukkan banyak contoh petikan sajak agar peserta dapat mengenal contoh baik dan contoh yang tidak boleh diikuti dalam menghasilkan sajak.

Beliau turut memperkenalkan karya-karya yang diolah menjadi lagu seperti Songsang (sajak Latiff Mohidin dinyanyikan Susan Lankester), Sesetia Malam pada Siang (puisi Siti Zaleha Hashim dinyanyikan oleh Kopratasa), Basikal Tua (dinyanyikan allahyarham Sudirman Arshad). Dunia puisi dan lirik lagu merupakan dunia yang sangat berkaitan antara satu sama lain.

Beliau juga memetik beberapa karya luar yang begitu berani dan mempunyai kritikan sosial yang tajam seperti karya Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta karya WS Rendra.

Beliau juga sempat berkongsi sajak Media Untuk Medea karya beliau sendiri sebagai usaha kreatif mengahwinkan watak karya luar dan karya antarabangsa.

Beliau berharap peserta terus istiqamah untuk menulis dan berkongsi tips menyuburkan idea menjadi penulis. Penulis yang baik ialah penulis yang membaca buku yang betul, menonton drama dan filem yang bagus. Beliau juga menekankan perlunya lebih ramai penulis muda wanita ditonjolkan dan diberi penghargaan setara dengan kualiti karya yang mereka hasilkan. Bengkel diakhiri dengan sesi bergambar para peserta dengan penceramah.